
IPOH: Seorang lelaki dipercayai Orang Asli ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah kereta di Jalan Batu 23 dekat Jalan Pahang, dekat Tapah, di sini malam semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon berkata pihaknya menerima maklumat kejadian pada 10.04 malam dan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Ketika jentera tiba di lokasi, kebakaran kereta jenis Proton Saga telah dipadamkan oleh orang awam dan kenderaan terbabit 50 peratus terbakar.
“Terdapat seorang lelaki di tempat duduk belakang dan mangsa yang berusia lingkungan 50 tahun itu ditemukan dalam keadaan rentung,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saiyani berkata pihak bomba telah melakukan penilaian risiko di lokasi kejadian dan mengambil maklumat sebelum mengeluarkan mayat mangsa.
“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi telah ditamatkan pada 11.36 malam,“ katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Mohd Naim Asnawi dalam satu lagi kenyataan berkata kes berkenaan disiasat sebagai mati mengejut sehingga punca kematian sebenar mangsa diketahui berdasarkan keputuan bedah siasat.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan setakat ini kita buka kertas siasatan akibat mati mengejut,” katanya sambil menambah lokasi kejadian merupakan kawasan perkampungan Orang Asli.–Bernama