
![]()
JOHOR BAHRU – Ahli keluarga kepada pelakon dan pelawak, Hamdan Ramli, 55, reda dengan pemergian Allahyarham kerana mahu beliau berehat setelah lama terlibat dalam industri hiburan tanah air.
Anak sulung Allahyarham, Muhamad Zeyreen Misha, 31, memberitahu, dia kini merupakan ketua keluarga baharu selepas bapanya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12.50 tengah hari, di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.
Katanya, bapanya banyak meninggalkan pesan bukan sahaja kepada ahli keluarga tetapi kepada rakan-rakan termasuklah tentang kematian.
“Babah memang banyak meninggalkan pesanan, kawan-kawan dia cakap dia penceramah bebas, pesanan terakhir dia kepada adik beradik, keluarga dan kawan-kawan adalah dengan berkongsi bacaan surah bagi memudahkan urusan itu (kematian dan masuk syurga).
“Saya selaku ketua keluarga yang baharu mewakili ahli keluarga lain buat keputusan biarlah babah berehat terus, biar dia rehat dan ahli keluarga akan jumpa semula di alam lain nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik HSA Johor Bahru, di sini.
Tambah Muhamad Zeyreen Misha, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Abu Ubaidah, Taman Perpaduan, Perak untuk disembahyangkan dan bagi memberi peluang kepada ahli keluarga dan rakan-rakan memberi penghormatan terakhir.
Sementara itu, Muhamad Zeyreen Misha turut memberitahu, dia dan adik beradiknya turut mempunyai minat untuk berkecimpung dalam bidang seni, namun perkara itu bergantung kepada peluang.
“Soal meneruskan legasi babah, minat itu memang ada cuma belum ada masa untuk ditonjolkan, jika ada rezeki Insya-Allah akan diperluas. Tetapi apapun kami akan tanya mak dahulu, jika dia luluskan baharu kami teruskan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
@kosmoonline Ahli keluarga kepada pelakon dan pelawak, Hamdan Ramli, 55, reda dengan pemergian Allahyarham kerana mahu beliau berehat setelah lama terlibat dalam industri hiburan tanah air. #hamdan #senario #meninggaldunia #keluarga #reda #hiburan ♬ original sound – Kosmo!
The post [VIDEO]’Biar abah rehat’ appeared first on Kosmo Digital.