JOHOR BAHRU: Kibaran bendera Johor, Jalur Gemilang serta laungan “Daulat Tuanku” bergema di sepanjang laluan dari Istana Bukit Serene ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), Kulai, mengiringi perjalanan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim ke Istana Negara di Kuala Lumpur.
Kehadiran ribuan rakyat Johor daripada pelbagai bangsa seawal 5 pagi di beberapa lokasi sepanjang laluan menghala ke LTAS termasuk di Taman Scientex Utama Senai, Taman Aman dan Pekan Senai adalah sebagai tanda kasih terhadap Sultan Ibrahim yang akan bersemayam di Istana Negara bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.
Bagi Mohd Azuan Ali, 44, dari Pasir Gudang, sejak semalam tiga anak lelakinya yang berumur antara 9 hinga 11 tahun begitu teruja untuk menyaksikan keberangkatan Sultan Ibrahim ke Kuala Lumpur sehingga sanggup bangun seawal 4 pagi untuk berkumpul di hadapan Istana Bukit Serene.
“Anak-anak saya membawa bendera Jalur Gemilang serta bendera Johor dan mengibarkannya semasa kenderaan Sultan Ibrahim lalu di hadapan kami. Ini kenangan berharga buat mereka,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di luar Istana Bukit Serene di sini hari ini.
Mohd Azuan yang merupakan seorang polis bantuan, turut mendoakan kepada Sultan Ibrahim agar dapat terus memimpin rakyat dan negara untuk menjadi lebih maju dan makmur.
Pesara tentera Othman Muhamad, 68, yang juga ahli Kelab Veteran Komando Malaysia menzahirkan rasa bangga kerana Sultan Ibrahim mengulangi sejarah ayahanda Seri Paduka Baginda, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail yang menaiki takhta bermula 26 April 1984 hingga 25 April 1989.
“Kami pasti dengan kebijaksanaan Sultan Ibrahim dapat membantu menjaga kestabilan dan keharmonian negara. Pada masa yang sama, kebijaksanaan dan ketegasan Sultan Ibrahim sememangnya amat diperlukan untuk memacu kecemerlangan negara,“ katanya yang berkhidmat dalam Gerup Gerak Khas (GGK) bermula 1976.
Sementara itu, seorang pekerja swasta David Liew, 41, berharap Seri Paduka Baginda sebagai payung negara, dapat meneruskan usaha menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di negara ini demi mengekalkan keharmonian dan keamanan negara.
“Saya percaya Sultan Ibrahim juga mampu membawa Malaysia ke tahap lebih baik khususnya dari sudut ekonomi,“ kata lelaki berusia 41 tahun itu.
Seorang warga emas Masnah Shamsudin, 67, pula menyuarakan rasa gembira dapat menyaksikan istiadat bersejarah itu meskipun hanya menerusi siaran langsung di televisyen.
“Semasa Almarhum Sultan Iskandar menjadi Yang di-Pertuan Agong, saya masih kecil. Sekarang, saya rasa bertuah kerana berkesempatan pula menyaksikan giliran Sultan Ibrahim menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-17,” katanya.–Bernama