
GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pengangkutan mengambil tindakan tegas terhadap perkhidmatan syarikat bas ekspres yang mengenakan tambang tinggi sehingga RM862 bagi perjalanan dua hala Gopeng, Perak dan Johor Bahru.
Pegawai Pendidikan Kanan CAP, N.V Subbarow berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang pengguna apabila dan isterinya terpaksa membayar caj yang sangat mahal dengan nilai berbeza untuk dua perkhidmatan bas sempena cuti Tahun Baru Cina.
Menurutnya, tambang bagi perjalanan dua hala itu dikenakan antara 270 peratus hingga 344 peratus berbanding harga biasa adalah RM70 seorang.
“Pengguna terbabit mendakwa tiket bas tersebut telah dibeli secara dalam talian bulan lalu, sebelum sambutan Tahun Baru Cina, kelmarin.
“Dia (pengguna) telah dikenakan caj RM190 dari Johor Bahru ke Gopeng yang mana dia berlepas pada 9 Februari (Jumaat) dan membayar RM 241.00 seorang untuk perjalanan pulang dari Gopeng ke JB, hari ini.
“Bagaimanapun, jumlah keseluruhan yang telah dibayarnya bagi perjalanan dua hala bersama isterinya adalah RM862,” katanya di sini.

Dalam pada itu, Subbarow memberitahu lagi, CAP menyifatkan perkara berkenaan adalah satu eksploitasi kepada pengguna.
“Sungguh terkejut dan kecewa apabila ada industri syarikat bas ekspres mengenakan caj berlebihan kepada penumpang semasa musim perayaan.
“Beberapa syarikat bas ekspres memperoleh wang yang besar sebagai keuntungan daripada pengguna atas nama perayaan. Kebanyakan orang yang suka menaiki bas ekspres adalah daripada kumpulan B40,” katanya.
Justeru tambahnya, Kementerian Pengangkutan disaran menyediakan meja aduan untuk penumpang yang dieksploitasi oleh syarikat bas sepanjang musim perayaan ini. -KOSMO! ONLINE
The post Tambang bas dua hala Gopeng-Johor Bahru RM862 appeared first on Kosmo Digital.