
![]()
JOHOR BAHRU – Bekas vokalis Exist, Mamat didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan pada 2019.
Mamat atau nama sebenarnya Mohd. Ali Kamarudin, 47, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Fatimah Zahari.
Mahkamah mengarahkan tertuduh membayar denda RM4,000 atau menjalani penjara dua tahun serta menjalani tempoh pengawasan bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bentong, Pahang selama dua tahun.
Bagaimanapun, penyanyi kumpulan Rock itu menjelaskan bayaran denda yang dikenakan.
Berdasarkan pertuduhan pindaan yang dibacakan, Mamat didakwa mengambil dadah jenis Methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara pada pukul 2 pagi, 9 September 2019.
Mamat yang pernah popular dengan kumpulan rock 90-an itu juga mempunyai kesalahan berulang mengambil dadah pada tahun 2016 dan 2018.
Tuduhan sebelum ini dibuat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu boleh dihukum di bawah Seksyen 39C (1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Prosiding dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Bariah Jalil manakala Mamat diwakili peguam bela, Azlina Abdul Aziz.-KOSMO! ONLINE
The post Mamat Exist didenda RM4,000 ambil syabu appeared first on Kosmo Digital.