
![]()
GEORGE TOWN – Seorang kerani insurans di negeri ini kerugian sebanyak RM601,850 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan telefon (phone scam) yang menyamar sebagai pegawai bank dan polis.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah menerima laporan daripada mangsa iaitu seorang wanita berusia 61 tahun berhubung kes itu pada 31 Ogos lalu.
Menurut beliau, mangsa menerima panggilan daripada individu yang mendakwa sebagai pegawai bank dan memaklumkan terdapat transaksi kad kredit atas namanya.
“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang lagi lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
“Suspek mendakwa mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram dan meminta semua butiran akaun bank miliknya untuk tujuan siasatan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa diarahkan membuat pemindahan wang ke beberapa akaun tempatan yang diberikan suspek.
“Sepanjang 14 hingga 28 Ogos lalu, mangsa telah membuat 14 transaksi melibatkan empat akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan kerugian RM601,850.
“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada anaknya sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. -KOSMO! ONLINE
The post Kerani insurans rugi RM601,850 ditipu sindiket telefon appeared first on Kosmo Digital.