
![]()
JOHOR BAHRU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 17,762 saman terhadap pemandu warga asing atas pelbagai kesalahan sepanjang pelaksanaan Ops Khas sempena Tahun Baharu Cina, sepanjang Februari ini.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa Undang-undang JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, kesalahan itu termasuklah tiada Lesen Memandu Malaysia (LLM) sebanyak 6,380 saman, tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) (2,120) tiada insurans (1,843) dan lain-lain kesalahan (7,419).
Menurut beliau, saman terhadap warga asing itu antara 165,553 saman dikeluarkan pihaknya menerusi operasi bersepadu yang dijalankan di seluruh negara itu.
“Jumlah saman paling tinggi dikeluarkan melibatkan kesalahan tidak memiliki lesen memandu iaitu 42,505 saman atau 26 peratus, diikuti gagal memperbaharui dan tiada lesen kenderaan motor sebanyak 32,979 saman atau 20 peratus.
“Selain itu, saman dikeluarkan turut melibatkan kesalahan teknikal sebanyak 29,976 saman, tiada insurans 27,239 saman, lain-lain kesalahan 20,264 saman dan memandu secara tidak selamat sebanyak 7,340 saman,” katanya selepas mengetuai operasi bersepadu yang dijalankan di Plaza Tol Skudai arah selatan, di sini malam semalam.
Tambah Lokman, pihaknya juga telah menahan 33 pemandu termasuklah pemandu kenderaan awam kerana didapati positif dadah selepas ujian saringan air kencing dilakukan.
“Antara dadah dikesan termasuklah syabu, ganja jenis tetra hydrocannibol (THC) dan opiat,” ujarnya.
Menurutnya lagi, sebanyak 768,276 diperiksa dan 6,413 daripadanya telah disita atas pelbagai kesalahan mengikut
Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715). -KOSMO! ONLINE
The post 17,762 saman dikeluarkan kepada pemandu warga asing appeared first on Kosmo Digital.