
![]()
JOHOR BAHRU – Laluan sepanjang 35.5 kilometer (km) bermula dari Istana Bukit Serene, di sini sehingga ke Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), Senai ditutup pada pagi Rabu ini.
Penutupan jalan sehala itu bersempena keberangkatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ke Istana Negara, Kuala Lumpur bagi Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, laluan utama itu akan mula ditutup pada pukul 7.45 pagi dan pergerakan konvoi Sultan Ibrahim dari Istana Bukit Serene dijangka bermula pada pukul 8 pagi.
“Pergerakan konvoi dijangka mengambil masa kira-kira satu jam menuju Hangar Diraja dan laluan akan dibuka semula sebelum pukul 9 pagi.
“Sepanjang jalan itu, dijangka seramai 20,000 hingga 30,000 rakyat Johor akan berbaris di sepanjang laluan melambai dan menyatakan sokongan kepada Sultan Ibrahim,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Kumar memberitahu, orang ramai dinasihatkan untuk mematuhi segala arahan yang akan dikeluarkan pegawai polis bertugas sepanjang tempoh berkenaan bagi melancarkan pergerakan konvoi itu.
Beliau turut menasihatkan bahawa pengguna jalan raya di laluan terlibat yang mempunyai urusan kerja atau sebagainya untuk keluar lebih awal sebelum laluan ditutup.
“Jika ada yang ingin melalui laluan berkenaan, diingatkan supaya keluar lebih awal atau menggunakan jalan alternatif yang ada.
“Dianggarkan hampir 1,200 anggota polis termasuk pasukan bantuan pihak berkuasa tempatan (PBT) di sepanjang laluan. bagi memastikan kelancaran perjalanan Sultan Johor dan keselamatan orang ramai nanti,” katanya.
Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan Selasa ini.
Baginda akan mula bersemayam di Istana Negara mulai Rabu ini bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun. – KOSMO! ONLINE
The post 35.5 km jalan sehala ditutup beri laluan keberangkatan Sultan Johor Rabu ini appeared first on Kosmo Digital.