
![]()
JOHOR BAHRU – Kelab Wanita Ikon Malaysia dengan kerjasama pengeluar kicap dan sos masakan tempatan, Mahsuri Dagang Sdn. Bhd. telah menganjurkan kempen ‘Are You Okay’.
Presiden Kelab Wanita Ikon Malaysia, Datuk Normaziah Sheikh Mohamed berkata, program itu bertujuan untuk memperkasa golongan wanita dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dalam bidang keusahawanan.
Katanya, program yang dianjurkan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu telah mendapat sambutan seramai kira-kira 700 peserta.
“Objektif utama program ini adalah menyediakan platform untuk usahawan usahawan wanita industri kecil dan sederhana (IKS), penuntut IPT dan juga agensi kerajaan untuk mempromosi produk atau perkhidmatan mereka.
“Program ‘Jelajah Johor’ ini telah di rasmikan isteri Tunku Mahkota Johor, Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar Khaleeda Binti Bustamam,” katanya kepada pemberita.
Normaziah turut memberitahu, syarikat usahawan tempatan turut terlibat berkongsi pengalaman mereka melalui sesi taklimat khas.
Sementara itu, Ketua Komersil Mahsuri Dagang Sdn. Bhd., Mohd. Jazri Ikmal Hijaz pula memberitahu, itu merupakan kali keenam mereka bekerjasama dengan program anjuran Kelab Wanita Ikon Malaysia.
“Objektif kita adalah untuk membantu masyarakat dengan kaedah memberi ilmu dan memupuk semangat untuk terlibat dalam perniagaan,” jelasnya lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post 700 peserta terlibat program ‘Are You Okay’ anjuran Kelab Wanita Ikon Malaysia, Mahsuri Dagang appeared first on Kosmo Digital.