
![]()
PONTIAN – Perbualan adik bongsu yang menyatakan mahu pergi jauh ketika bersua muka malam kelmarin di rumah keluarganya di Taman Saujana di sini adalah satu petanda akan pergi buat selamanya.
Menurut Mohd Nazarul Ilham Ibrahim, 37, perbualan itu pada tanggapannya adalah perbualan biasa kerana adiknya, Muhammad Taqueuddin, 28, pernah memberitahu akan berkonvoi bermotosikal ke Thailand pada 26 Jun depan.
“Malam kelmarin, adik ada datang ke rumah saya, datang melawat lepak dekat rumah, semasa berbual dia ada cakap nak pergi jauh sebab dia pernah cakap nak pergi konvoi dekat Thailand bulan depan.
“Tak sangka pulak itu petanda dia nak ‘pergi’ menghadap Ilahi buat selamanya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Pontian, di sini pagi hari ini.
Muhammad Taqueuddin ditemui meninggal dunia kira-kira pukul 6.40 petang semalam selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Kenari di Simpang Empat Parit Patah di sini.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135LC dipercayai tidak sempat mengelak sebelum melanggar kereta Perodua Kenari yang keluar simpang secara tiba-tiba.
Dalam pada itu, Allahyarham adiknya bekerja sebagai penghantar makanan di Gelang Patah, Johor Bahru dan ketika kejadian dalam perjalanan balik ke rumahnya di Rumah Pangsa Jalan Parit Masjid.
“Saya tidak menyangka pertemuan pada malam tadi merupakan kali terakhir saya berjumpanya dengannya,” katanya dengan nada sebak.
Sementara itu seorang lagi abangnya, Mohd Idris, 39, yang tinggal bersama Allahyarham di Rumah Pangsa Jalan Parit Masjid berkata, biasanya sebelum keluar bekerja, arwah akan bersalaman dengannya terlebih dahulu.
Namun katanya, pada pagi semalam, Allahyarham tidak bersalaman dan terus ke tempat kerja di Gelang Patah, Johor Bahru, yang menyebabkan dia merasa ada sesuatu yang tidak kena pada adiknya.
“Saya mendapat tahu mengenai kejadian tersebut ketika berada di Masjid Jamek Kampung Parit Mesjid, tidak jauh dari lokasi kemalangan yang menimpa adiknya itu,” jelasnya dengan nada sedih.
Katanya, jenazah adiknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit sebelum atau selepas solat zohor bergantung kepada proses bedah siasatan di Hospital Pontian pagi ini.-KOSMO! ONLINE
The post ‘Adik cakap nak pergi jauh, tak sangka ‘pergi’ menghadap Ilahi’ appeared first on Kosmo Digital.