
![]()
DUNGUN – Seorang lagi bayi meninggal dunia akibat kenderaan dinaiki bersama ahli keluarganya terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2) semalam.
Dalam kejadian Kilometer 372, LPT2 berhampiran Bukit Besi di sini pada pukul 6.40 petang itu, mangsa, Mohammad Adam Rayyan Abdul Rahim berusia tujuh bulan cedera parah setelah kenderaan pacuan empat roda dinaikinya dikatakan hilang kawalan lalu terbabas selepas terlanggar lopak air di lokasi kejadian.
Bayi itu menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada pukul 12.25 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, sewaktu kejadian, lima individu yang mempunyai hubungan keluarga dikatakan dalam perjalanan pulang ke Pengerang, Johor dari Kota Bharu, Kelantan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan jenis Mitsubishi Pajero Sport dinaiki mereka dikatakan tiba-tiba hilang kawalan selepas terlanggar lopak jalan.
“Impaknya kenderaan itu terbabas merempuh besi penghadang lebuh raya sebelum terhumban ke dalam tebing lebuh raya dipenuhi air,” katanya yang dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Maizura berkata, pengguna lebuh raya lain yang menyaksikan kejadian tersebut bergegas membantu menyelamatkan lima mangsa tersebut sebelum menghubungi pihak berkuasa.
Beliau berkata, pemandu kenderaan Mitsubishi Pajero Sport, Mohammad Taufik Babge, 34, isteri, Hamizah Mustapha, 35, serta dua anak saudara mereka masing-masing berusia 11 dan 20 tahun yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan.
“Mangsa (Mohammad Adam Rayyan) yang kritikal dikejarkan ke HSNZ sebelum disahkan meninggal dunia setelah hampir 18 jam menerima rawatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Bayi 7 bulan maut, Pajero terbabas elak lopak air di LPT appeared first on Kosmo Digital.