
KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus harta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memindahkan RM40,000 hasil daripada aktiviti wang haram ke dalam akaun bank peribadinya, tiga tahun lepas.
Dicky Rahmat Abdullah, 50, yang merupakan bekas pengurus harta di Bahagian Pengurusan Harta, Pelaburan Hartanah Berhad didakwa memindahkan wang itu daripada akaun Maybank SA Elit Enterprise ke akaun Maybank miliknya di Maybank Islamic, Cawangan Taman Setiawangsa, di sini antara 8 Sept dan 9 Dis 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Irwan Shah Abdul Samat memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana Dicky telah dituduh di mahkamah itu minggu lepas.
“Mohon mahkamah mengguna pakai jaminan sama sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin seperti ditetapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam,” katanya.
Peguam Diar Isda Yazmin Ismail yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan tersebut.
Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan pihak pendakwaan berkenaan pemindahan kes dan jaminan serta menetapkan 3 April ini untuk sebutan kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Pada 14 Feb lepas, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 10 pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – Bernama