JOHOR BAHRU: Projek pembinaan Hospital Pasir Gudang, di sini, berjalan lancar dan telah mencapai kemajuan memuaskan iaitu 63.26 peratus setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon (gambar) berkata projek bernilai RM376.32 juta itu dijangka siap pada Mac 2025.
Beliau berkata hospital tersebut yang mampu menyediakan perkhidmatan perubatan kepada penduduk setempat, dijangka menyediakan 14 perkhidmatan klinik pakar dan dilengkapi 304 katil.
“Kemajuan semasa pembinaan hospital tersebut telah mencapai 63.26 peratus setakat ini, iaitu lebih tinggi daripada perancangan asal iaitu 41.5 peratus.
“Keseluruhan pembinaan hospital dijangka siap pada Mac 2025 dan beroperasi secara berperingkat pada tahun yang sama. Pada ketika ini, bangunan utama hospital, kuarters jururawat dan rumah kakitangan juga sedang dalam pembinaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini.
Beliau yang melawat tapak pembinaan hospital itu hari ini berkata akan turut memastikan hospital yang dinanti-nantikan warga Pasir Gudang itu dapat disiapkan secepat mungkin.
“Hospital Pasir Gudang ini diharapkan dapat beroperasi secepat mungkin bagi memenuhi keperluan warga Pasir Gudang dan bangsa Johor yang sedang mengalami peningkatan penduduk yang pesat.
“Semoga dengan adanya Hospital Pasir Gudang ini, mutu perkhidmatan kesihatan negeri ini dapat ditambah baik, sekali gus mengurangkan kesesakan hospital lain dalam daerah Johor Bahru,” katanya. -Bernama