
JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa mangsa pencemaran sisa toksik Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Irfan Wafiy Idham Wazir, 16, masih menderita penyakit Myokimia sejak enam tahun lalu.
Bapa Irfan Wafiy, Idham Wazir A. Wahab, 53, berkata demikian pada hari pertama perbicaraan saman sivil di hadapan Hakim Datuk Seri Samsulbahri Ibrahim.
Idham Wazir yang juga saksi plaintif pertama itu berkata, penyakit yang dihidapi anaknya itu bukan sahaja tiada penawarnya, malah tidak pernah direkodkan di negara ini.
Jelasnya, keadaan kaki anaknya juga sentiasa menggeletar dan berada dalam keadaan kejang akibat terkesan pencemaran berkenaan.
“Kesihatannya masih belum sembuh. Kaki dia masih menggeletar, tiba masa dia sakit, memang kaki dia akan ‘non stop’ menggeletar dan kerap berada dalam kekejangan.
“Alhamdulillah sekarang dia solat dah tidak perlu pakai kerusi, solat seperti biasa. Namun, penyakit itu ada lagi, belum sembuh dengan rawatan kali terakhir adalah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam, Walter Pereira pada perbicaraan kes saman sivil pencemaran sisa toksik Sungai Kim Kim, di Mahkamah Tinggi di Menara Cyberport, di sini hari ini.
Idham Wazir berkata, anaknya yang berusia 16 tahun itu kini sedang belajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Johor Bahru di Seri Alam, di sini.

Katanya, setelah enam tahun berlalu, anaknya tidak menerima panggilan daripada pihak Hospital Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan susulan.
“Doktor pakar yang rawat anaknya memaklumkan penyakit ini tak ada ubat dan tiada rekod untuk penyakit ini di Malaysia. Apa yang doktor bagi (ubat) ‘try and error’ sahaja, berdasarkan kes-kes di luar negara.
“Namun ubat berkenaan tidak sesuai dengan anak saya. Bila anak saya makan, dia akan tidur,” katanya.
Perbicaraan kes saman sivil RM30 juta terhadap 12 defendan termasuk Kerajaan Negeri Johor itu kemudiannya disambung pada Jun depan.
Peguam Datuk Kamarudin Ahmad memberitahu, tarikh perbicaraan itu ditetapkan pada 2 Jun dan pada 18 dan 19 Ogos serta 14 dan 15 Oktober depan.
Idham Wazir bersama 41 lagi plaintif kes itu diwakili peguam Kamarudin, Walter Pereira dan Radiah Karim.
Pada 17 Julai tahun lalu, pihak mangsa memfailkan saman sivil itu berjaya menafikan permohonan defendan, P Tech Resources Sdn. Bhd., untuk mengenepikan saman sivil yang mula difailkan pada 2019. – KOSMO! ONLINE
The post Irfan Wafiy masih derita Myokimia pencemaran Sungai Kim Kim appeared first on Kosmo Digital.