
IPOH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak merampas 28 kenderaan mewah yang didapati melanggar pelbagai peraturan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.
Pengarahnya Datuk Abdul Ghafar Mohamad (gambar) berkata Bahagian Penguatkuasaan JKDM Perak melakukan serbuan di 12 lokasi berbeza di sekitar Perak dan Selangor.
Beliau berkata kenderaan mewah yang dirampas antaranya Porsche, Lamborghini serta Mercedes melibatkan jumlah cukai bernilai RM10.4 juta.
“JKDM Perak juga menahan 11 individu berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun disyaki pemilik kenderaan dan pemilik syarikat bagi membantu siasatan.
“Kesemua kenderaan yang dirampas atas pelbagai kesalahan antaranya pelanggaran syarat atas kemudahan pengecualian duti dan cukai, menyimpan kenderaan mewah di kawasan yang tidak dilesenkan serta mempunyai nombor kenderaan berpendaftaran di Langkawi dan telah berada di Semenanjung melebihi 90 hari,“ katanya pada sidang media di sini hari ini.
Abdul Ghafar berkata pihaknya masih menyiasat sama ada kesemua kenderaan yang dirampas itu mempunyai permit import atau sebaliknya.
Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) (d), Seksyen 133(1) (a) dan Seksyen 138 Akta Kastam 1967.
Dalam pada itu, Abdul Ghafar berkata pihaknya turut menyeru orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah serta kenderaan dan dinasihatkan supaya tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,“ katanya. -Bernama
