
GEORGE TOWN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 146 saman kerana pelbagai kesalahan dalam Ops Motosikal Bersepadu sempena sambutan Tahun Baharu 2024, di Lebuhraya Datuk Dr Lim Chong Eu (E-Gate) di sini, awal pagi hari ini.
JPJ Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi bersama-sama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu bermula dari 1 pagi hingga 5 pagi dan sebanyak 315 motosikal diperiksa.
“Sepanjang operasi, sebanyak 110 penunggang motosikal dikenakan tindakan saman membabitkan146 notis kerana pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor ( LKM ) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dibenarkan serta ubah suai motosikal tanpa kebenaran.
“Operasi itu bertujuan untuk memastikan penunggang dan pembonceng motosikal mematuhi peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa dan memastikan motosikal mereka tidak diubah suai untuk tujuan lumba haram, uji kelajuan atau rempit,“ menurut kenyataan itu.
Sebanyak 15 pegawai dan anggota JPJ Pulau Pinang bersama 20 pegawai dan anggota PDRM terlibat dalam operasi itu. – Bernama