
PELABUHAN KLANG: Korvet Tentera Laut Turkiye, TCG Kinaliada berlabuh di Malaysia selama tiga hari bermula hari ini, sebelum meneruskan perjalanan ke Jepun sempena ulang tahun ke-100 hubungan diplomatik Turkiye-Jepun.
Duta Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel berkata persinggahan itu juga merupakan sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Turkiye-Malaysia.
Beliau berkata ini menjadi lambang kesediaan Turkiye dan Malaysia untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti pendidikan dan pertahanan serta sains dan teknologi.
“Ia juga sebagai usaha untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye,” katanya pada sidang media di Port Klang Cruise Terminal, di sini hari ini.
Sementara itu, Emir Salim berkata tujuan utama TCG Kinaliada ke Jepun adalah untuk meraikan ulang tahun ke-100 hubungan diplomatik Turkiye-Jepun selain memperingati ulang tahun ke-134 tragedi tenggelamnya kapal Frigat Ertugrul Uthmaniyyah akibat ribut yang mengorbankan 587 kelasi.
Beliau berkata sepanjang perjalanan itu TCG Kinaliada akan singgah di beberapa pelabuhan dalam usaha Turkiye untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan negara yang dikunjungi.
TCG Kinaliada yang membawa 110 anak kapal dijangka singgah di 24 pelabuhan di 20 negara sepanjang 134 hari perjalanan.
Kapal keempat yang dihasilkan di bawah projek korvet Turkiye itu siap pada 29 Sept 2019 dan telah memulakan perjalanan ke Jepun dari Izmit pada 9 April.