
BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki cedera parah selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh sebuah kedai makan di tepi Jalan Sungai Semambu, Kubang Semang awal pagi ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.27 pagi sebelum terus ke lokasi dan mendapati pemandu kereta Yap Chun Huat, 30, tersepit dalam kenderaan itu.
“Kereta mangsa dipercayai terbabas sebelum merempuh sebuah kedai di tepi jalan dan semasa kemalangan itu tiada sesiapa dalam kedai tersebut serta lelaki berkenaan memandu sendirian,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata mangsa berjaya dikeluarkan pada 1.52 pagi dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya.–Bernama