
KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita kebangsaan sekali lagi tumpas dalam kempen kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 apabila ditundukkan Korea Selatan 0-3 dalam penentuan tempat kelima hingga kelapan di Valencia, Sepanyol hari ini.
Pasukan Korea Selatan nyata berada dalam kelas tersendiri apabila menidakkan kemaraan Malaysian Tigress dengan Cho Hyejin membuka tirai jaringan pada minit ke-33, sebelum pukulan sudut penalti Lee Yuri menewaskan penjaga gol skuad kebangsaan pada minit ke-46.
Belum sempat pasukan Malaysia mencongak strategi baharu, Park Seungae menambah jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-54.
Sementara itu, pengendali pasukan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata meskipun tewas, corak permainan anak didiknya bertambah baik daripada perlawanan pertama hingga hari ini.
“Namun masih ada beberapa kekurangan (boleh dibaiki) dalam perlawanan tempat ketujuh/ kelapan dan sudah semestinya kita ambil segala-galanya dalam perlawanan terakhir kerana melihat pasukan ini berpotensi menyerlah di peringkat antarabangsa,” katanya menerusi rakaman video dikongsikan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).
Skuad negara akan berdepan sama ada Kanada atau Ukraine dalam penentuan tempat ketujuh dan kelapan Sabtu ini (20 Jan).
Sebelum ini, Malaysia kecundang dalam tiga aksi Kumpulan B apabila kalah kepada tuan rumah Sepanyol 0-7 dan Kanada 0-3 serta hanya berjaya menjaringkan satu gol menerusi perlawanan menentang Great Britain (1-8), sekali gus menduduki tangga tercorot.–Bernama