
IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mengeluarkan kompaun RM1,000 tanpa sebarang rayuan kepada pembuang sampah haram di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, kata Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin (gambar).
Beliau berkata warga kota Ipoh yang gemar membuang sampah haram sesuka hati di bandar raya Ipoh akan dikenakan tindakan tegas oleh MBI.
Katanya MBI mengecam tindakan segelintir warga kota Ipoh yang gemar membuang sampah haram sesuka hati yang disifatkan tidak memiliki perasaan sayang dan prihatin terhadap bandar raya Ipoh sehingga sanggup berkelakuan sebegitu.
Menurutnya lagi tindakan segelintir warga kota yang tidak bertanggungjawab itu yang telah mencalarkan imej warga kota Ipoh, sekali gus menggagalkan usaha MBI memupuk budaya “Ipoh Bestari Sejahtera” yang menjadi slogan pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.
“Ia (kompaun tanpa sebarang rayuan selain masyarakat berperanan menjaga moral dan sivik) adalah sejajar dengan usaha berterusan MBI untuk mencapai hasrat menjadikan Ipoh bandar raya terbersih di Malaysia serta pihak berkuasa tempatan terbaik di Malaysia,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Rumaizi berkata dari 1 Jan hingga 31 Dis 2023, MBI telah membersihkan 120 lokasi longgokan sampah haram sebanyak 5,073 kali dan mengeluarkan 1,214 tawaran kompaun bernilai RM498,750.
MBI juga turut menjalankan 49 aktiviti gotong-royong serta memasang 1,485 papan tanda kecil dan 185 papan tanda besar “Dilarang Membuang Sampah” di sekitar bandar raya Ipoh.
“Tanggungjawab ini bukanlah terletak di bawah MBI semata-mata tetapi memerlukan penglibatan semua pihak. Tindakan mengkompaun adalah tindakan terakhir setelah tindakan lain tidak diendahkan oleh warga kota Ipoh,“ katanya.
Sementara itu, beliau berkata 90 peratus daripada 470 lokasi pembuangan sampah haram berjaya dibersihkan MBI dari 1 Jan hingga 31 Dis 2023 dalam merealisasikan matlamat PBT itu untuk menjadikan Ipoh bandar raya terbersih.
Katanya MBI turut mengadakan program pengedaran tong sampah secara percuma kepada penduduk di bandar raya Ipoh dengan sehingga Disember lepas, sebanyak 84,547 unit tong diedarkan setiap hujung minggu mengikut giliran zon Ahli Majlis MBI sejak program itu mula diperkenalkan pada 2021. –Bernama