JOHOR BAHRU: Polis menahan 87 individu termasuk 68 warga asing dalam serbuan terhadap 22 pusat urut tidak berlesen yang disyaki menggaji pekerja asing tanpa permit pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Johor CP M Kumar (gambar) berkata kesemua 22 lelaki dan 65 wanita berumur dalam lingkungan 22 hingga 64 tahun itu ditahan menerusi Op Noda Khas yang dijalankan secara serentak melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah di seluruh negeri.
“Kita juga telah merampas telefon bimbit pelbagai jenama, jadual kerja, buku catatan, kondom, minyak pelincir, minyak urut, tisu, tuala wanita dan wang tunai berjumlah RM8,789.
“Kesemua tangkapan akan dimohon reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976, Seksyen 372A dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1969/63, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“Pada masa sama, kita juga mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah untuk menyalurkan ke talian hotline 019-2792095 atau bilik gerakan 07-2212999,” katanya. -Bernama