
![]()
REMBAU – Seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pasir Gudang, Johor maut apabila kenderaan dinaiki merempuh belakang sebuah lori di kilometer 242.6, Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara), di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 pagi itu, mangsa, Muhamad Alif Hafify Muhamad Hafiz, 21, yang merupakan penumpang hadapan, berasal dari Sungai Besar, Selangor disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Shaik Abd. Kadar Shaik Mohamed, kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu kereta jenis Toyota Vios dinaiki tiga pelajar lelaki seuniversiti dan sebuah lori jenis Hino yang dalam perjalanan dari Johor menghala ke Seremban.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, pemandu hilang kawalan ke kiri jalan lalu terlanggar bahagian belakang sebelah kanan lori di lorong kiri.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu kereta, Mohamad Wazif Saipol, 21, tidak mengalami kecederaan, manakala penumpang depan maut susulan kecederaan di bahagian kepala dan badan.
“Penumpang belakang kereta pula, Muhammad Farhan Mahadi, 21, dikejarkan oleh pihak ambulans ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban untuk rawatan segera,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Shaik, mayat di hantar ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Susulan kejadian berkenaan, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau serta Kota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan penumpang hadapan yang tersepit dalam kenderaan. – KOSMO! ONLINE
The post Pelajar UiTM maut nahas rempuh belakang lori appeared first on Kosmo Digital.