
![]()
BATU PAHAT – Tindakan seorang pembantu pengembala lembu dan kambing milik ayahnya menceroboh masuk kawasan kediaman dan merosakkan harta benda Sultan Johor pada September lalu mengundang pada apabila dia dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Hukuman itu diputuskan Majistret Suhaila Shafi’uddin selepas tertuduh, Muhammad Qamarulazim Samad, 20, mengaku salah atas pertuduhan yang dikemukan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Qamarulazim melakukan pecah rumah dengan memasuki ke dalam kediaman kepunyaan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Sultan Johor digunakan sebagai tempat simpan harta dan melakukan khianat iaitu merosakkan kunci pintu rumah di rumah tempat datang-datang, Jabatan Kerja Raya (JKR) 100, Jalan Kluang di dalam daerah Batu Pahat pada pukul 9.30 pagi, 23 September lalu.
Tertuduh yang dikategorikan sebagai pesalah muda itu didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan bagi mana-mana kesalahan mencuri itu yang dilakukan kali kedua atau seterusnya hendaklah juga dikenakan denda atau sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip dalam pada itu memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada pesalah muda ini serta orang ramai agar tidak melakukan kesalahan sama pada masa akan datang.
Tertuduh yang diwakili oleh Peguam Bela, Siti Farha Garieb daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) kemudiannya merayu agar tempoh reman bermula 24 September 2024 sebagai hukuman kesalahan kepada tertuduh kerana ini adalah kesalahan pertama selain masih muda.
Suhaila kemudiannya menjatuhkan hukuman dua bulan penjara bermula dari tarikh ditahan dengan mengambil kira kepentingan awam serta mengharapkan tertuduh menjadi anak bangsa yg baik. – KOSMO! ONLINE
The post Pembantu pengembala dijel 2 bulan ceroboh, rosak harta benda Sultan Johor appeared first on Kosmo Digital.