
GEORGE TOWN: Pulau Pinang bakal melatih sekurang-kurangnya 500 jurutera reka bentuk litar bersepadu (IC) selaras sasaran Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) untuk melatih 60,000 jurutera berkemahiran tinggi menjelang 2030.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata jurutera terbabit akan dilatih oleh Akademi Reka Bentuk Cip Pulau Pinang di bawah inisiatif Penang Silicon Design @5km+ yang menawarkan program peningkatan kemahiran dan pemahiran semula dalam bidang kejuruteraan.
“Akademi ini dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku pertama 2025 bagi memastikan negeri ini memiliki bakat mencukupi, berkemahiran tinggi dan berkualiti untuk menyokong permintaan terhadap jurutera reka bentuk IC yang semakin meningkat,” katanya pada majlis perasmian inisiatif itu di Bayan Lepas dekat sini hari ini.
Beliau berkata Akademi Reka Bentuk Cip Pulau Pinang adalah antara tiga komponen utama Penang Silicon Design @5km+ selain Taman Reka Bentuk IC dan Digital Pulau Pinang serta Pusat Penyelidikan dan Inkubasi Silikon.
Chow berkata Taman Reka Bentuk IC dan Digital Pulau Pinang di Taman Perindustrian Bayan Lepas akan menyediakan kira-kira sejuta kaki persegi ruang pejabat premium untuk menyokong aktiviti reka bentuk IC, penyelidikan dan pembangunan, perkhidmatan perniagaan global (GBS) digital serta pelaburan dalam teknologi digital.
Ruang Penyelidikan dan Inkubasi Silikon seluas 36,000 kaki persegi di GBS TechSpace pula dijadikan pusat sehenti yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada syarikat pemula dan ia dijangka beroperasi sepenuhnya pada penghujung April 2025.
Dengan lebih 350 syarikat multinasional serta 4,000 perusahaan kecil dan sederhana beroperasi di Pulau Pinang, Chow berkata negeri itu kini menempatkan lebih 30 syarikat reka bentuk IC iaitu tertinggi di Malaysia dengan sektor berkenaan dijangka mencapai nilai US$84.16 bilion menjelang 2030.
Beliau turut memaklumkan bahawa Pulau Pinang mencatatkan hampir RM20 bilion pelaburan dalam sektor perkhidmatan antara 2019 hingga 2023, menyumbang sembilan peratus daripada keseluruhan pelaburan negeri.
Melihat kepada potensi besar sektor itu, Chow berkata Penang Silicon Design @5km+ diperkenal sebagai langkah proaktif untuk melonjakkan kedudukan Pulau Pinang dalam industri reka bentuk IC.
“Konsep unik ini menyatukan semua aktiviti dan ekosistem IC dalam radius 5 kilometer+, menyokong pertumbuhan ekonomi negeri melalui penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi, peningkatan pelaburan dan pembangunan teknologi mampan,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Penang Silicon Design @5km+ dan meluluskan geran padanan berjumlah RM50 juta bagi tempoh lima tahun dengan RM10 juta setahun.
Jumlah pelaburan untuk inisiatif berkenaan diunjurkan sebanyak RM120 juta dalam tempoh lima tahun akan datang dan kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM60 juta bagi memacu inisiatif yang dicipta untuk merevolusikan industri semikonduktor Malaysia.