
![]()
JOHOR BAHRU – Kegiatan sebuah premis di Kompleks Austin Perdana, di sini yang menjalankan perniagaan menjual barangan berjenama terkenal tiruan dalam talian sejak empat tahun lalu terbongkar apabila diserbu polis dalam Op Paten, semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, menerusi operasi khas pada pukul 10.30 pagi itu, pelbagai barangan berjenama tiruan termasuk Louis Vuitton, Gucci, Chanel dan Balenciaga bernilai RM1,412,000 dirampas.
Katanya, operasi itu dijalankan sepasukan polis dari Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama wakil cap dagangan Global Trade Sheild Sdn. Bhd.
“Hasil pemeriksaan di hadapan lima individu termasuk penjaga dan pekerja premis berusia 20 hingga 47 tahun, terdapat pakaian, beg, kasut, topi, tali pinggang dan dompet berjenama tiruan disimpan di dalam premis tersebut.
“Premis tersebut menjalankan perniagaan secara dalam talian menggunakan platform media sosial sejak empat tahun lalu.
“Setiap barangan dijual bermula dengan harga RM350 hingga RM500 dan barangan tiruan tersebut disyaki diimport dari luar negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kumar berkata, premis tersebut menggunakan modus operandi dengan melakukan penjualan dalam talian pada waktu tengah hari dan malam.
Malah, mereka juga sentiasa berjaga-jaga dengan kehadiran pihak berkuasa dan bersedia untuk melarikan diri sekiranya mengesan kehadiran individu mencurigakan.
Beliau berkata, semua barangan disita untuk tujuan siasatan mengikut Seksyen 102 (1)(C) Akta Cap Dagangan 2019.
Kes telah dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post Polis rampas pakaian, aksesori berjenama mewah tiruan bernilai RM1.41 juta appeared first on Kosmo Digital.