
KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor akan berbincang dengan syarikat telekomunikasi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam masa terdekat untuk memperluas proses transformasi digital dalam usaha menjayakan Selangor sebagai negeri pintar menjelang 2025.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata langkah itu adalah kaedah terbaik untuk mempercepat proses ke arah menjadi negeri pintar.
“Jadi, saya mungkin berbincang dengan syarikat telekomunikasi dan PBT selepas ini, untuk mengenal pasti lagi lokasi yang boleh dilaksanakan.
“Ada sebahagiannya industri, sebagai contoh kita mahu membangunkan Taman Perindustrian Terurus (MIP) dan sebahagiannya adalah Taman Perindustrian Pintar Park (SIP), pastinya 5G menjadi paling penting dan pemboleh kepada fungsi tersebut,“ katanya di sini, pada Selasa.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara CelcomDigi Bhd (CelcomDigi) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
MoU tersebut bertujuan bagi proses transformasi pembangunan digital serta merealisasikan kawasan Hulu Kelang sebagai bandar pintar pertama di bawah MPAJ.
Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata kerjasama itu membuka peluang kepada kedua-dua pihak untuk berinovasi dan memanfaatkan teknologi digital di negeri itu.
Beliau berkata penyelesaian yang sesuai boleh dikenal pasti menerusi kerjasama itu untuk mewujudkan ekosistem bandar pintar yang kondusif dan inklusif, meningkatkan kualiti hidup penduduk serta mewujudkan komuniti yang selamat.
“Kita ingin memajukan dan menginspirasikan masyrakat, dan bertekad menghubungkan setiap rakyat Malaysia dengan teknologi inovasi yang mampu memudahkan urusan serta dapat meningkatkan kualiti kehidupan,“ katanya.
Idham berkata kedua-dua pihak akan bekerjasama selama 10 tahun dan MoU itu merupakan persefahaman pertama yang ditandatangani pihaknya bersama kerajaan negeri. –Bernama
Ihsan gambar: Datuk Seri Amirudin Shari/BERNAMAPix