
KUALA LUMPUR: Tourism Malaysia dan Mastercard mengumumkan kerjasama strategik untuk mengubah pengalaman pelancong dan bantuan sokongan sebagai persediaan menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Kerjasama itu dimeterai melalui pertukaran Memorandum Kerjasama (MoC) antara Ketua Pengarah Tourism Malaysia Manoharan Periasamy dan Presiden Bahagian Mastercard Asia Tenggara Safdar Khan di sini hari ini.
Majlis itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan.
Kerjasama itu akan memfokuskan kepada empat bidang iaitu memanfaatkan cerapan dan analisis data dengan hab data dan perkhidmatan serantau Mastercard di Kuala Lumpur akan memberikan pandangan mengenai corak, keperluan dan keutamaan perbelanjaan pelancong.
Tourism Malaysia dan Mastercard juga akan bersama-sama mewujudkan aplikasi Travel Malaysia, penyelesaian sehenti bagi pelancong dan tawaran eksklusif sepanjang perjalanan pelawat, daripada perancangan jadual perjalanan dan tempahan kepada tawaran berasaskan lokasi semasa, yang akan dilancarkan pada 2025.
Kedua-dua organisasi akan mencipta dan melancarkan kempen pemasaran yang kreatif dan menarik serta Mastercard akan memperkenalkan program Mastercard signature Priceless di Malaysia, menawarkan pengalaman unik dan tawaran luar biasa untuk pelancong.
Sebagai sebahagian daripada MoC, Mastercard juga akan dinamakan sebagai Rakan Pembayaran Eksklusif Tourism Malaysia.
Khairul Firdaus berkata kerjasama dengan Mastercard menyerlahkan komitmen kementerian untuk memanfaatkan teknologi bagi mewujudkan pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan inovatif di Malaysia.
Beliau berkata dengan menggunakan data insights, kementerian itu menyasarkan untuk meningkatkan kepuasan pengunjung dan terus berinovasi untuk melibatkan diri dengan pelancong.
“Mastercard mempunyai rangkaian yang cukup luar biasa bukan sahaja setakat di rantau ini, malahan di seluruh dunia. Itu sebabnya kami buat keputusan yang cukup strategik untuk mengadakan kerjasama dengan Mastercard,” katanya ketika ditemui pemberita.
Sementara itu, Manoharan berkata agensi itu menyasarkan untuk memanfaatkan kerjasama dengan Mastercard bagi mencipta pengalaman tersendiri, sekali gus menempatkan Malaysia sebagai destinasi beli-belah utama global.
“Pada 2023, Malaysia menerima kedatangan 20.14 juta pelancong dengan resit pelancongan mencecah RM71.3 bilion. Aktiviti membeli-belah memperoleh 33.9 peratus daripada jumlah perbelanjaan, menyumbang kepada RM24.1 bilion,“ katanya. – Bernama