
![]()
JASIN – Pemandu bas ekspres berstatus suami orang dan kenalan wanita yang tular membuat aksi riba hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin untuk memberi keterangan, hari ini.
Pasangan itu tiba dengan menaiki sebuah kereta Proton Persona pada pukul 4.30 petang tadi.
Difahamkan kedua-dua mereka hadir bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan, pasangan itu telah dipanggil untuk memberi keterangan susulan video tular memaparkan mereka membuat aksi meriba ketika kenderaan itu sedang bergerak dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Larkin Sentral, Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, hasil siasatan awal mendapati, pemandu bas ekspress tersebut telah berkahwin, manakala wanita terbabit adalah kenalannya.
“Kita telah minta kerjasama pemandu bas dan wanita dalam rakaman video berkenaan tampil segera ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin bagi membantu siasatan.
“Kejadian dipercayai berlaku pada 12 April kira-kira pukul 7.30 malam di kawasan susur masuk Rehat dan Rawat (RnR) Bemban (arah selatan) sebelum dikesan tular pada keesokkannya,” katanya.
Ujarnya, polis bagaimanapun mengesan video terbabit pada pukul 5.30 petang 13 April dan mendapati perbuatan meriba itu sangat berbahaya kerana boleh menjejaskan kawalan kenderaan, menganggu tumpuan pemandu serta membahayakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain.
Susulan kejadian itu, syarikat bas terbabit turut mengeluarkan kenyataan permohonan maaf dan memaklumkan pemandu terbabit telah dipecat serta-merta.-KOSMO! ONLINE.
The post [VIDEO] Pemandu bas, kenalan wanita buat aksi riba hadir di IPD Jasin appeared first on Kosmo Digital.