
KOTA BHARU: Seorang warga India antara enam individu yang ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan kerana menjual pelbagai rokok seludup dan minuman keras di premis sekitar Gua Musang pada minggu lepas.
Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata menerusi Op Label Palsu yang dijalankan selama tiga hari bermula 11 Dis lalu, sejumlah 165,008 batang rokok seludup, 279.26 liter minuman keras dan sebuah Honda Odyssey dengan nilai rampasan termasuk cukai berjumlah RM176,959.
“Kita telah menahan lima warga tempatan dan seorang warga asing (India) dan kesemua suspek berusia dalam lingkungan antara 30-an hingga 50-an.
“Bagaimanapun, warga India berusia 30-an ditahan reman selama 14 hari sehingga 26 Dis depan, manakala lima lagi dibebaskan masing-masing dengan jaminan antara RM5,000 hingga RM6,000 setiap seorang,“ katanya pada sidang media di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Wisma Kastam, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Jamal Abdul Salam berkata siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti modus operandi yang digunakan sama ada rokok dan minuman keras tersebut dibawa masuk melalui jalan laut atau dari negeri Pantai Barat Semenanjung.
“Kes melibatkan rokok dan kenderaan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, manakala kes melibatkan minuman keras disiasat di bawah Seksyen 32(1) Akta Eksais 1976,“ katanya.–Bernama